(Tinta Pengarang)
Suatu kisah yang berakar umbi dari gerak hati dan pandangan hidup.
Realiti hidup yang membayangi dan mendewasakan tiap-tiap jiwa.
Otak kiri mengawal-gerak anggota kanan…
Otak kanan mengawal-gerak anggota kiri…
Gerakan anggota kanan mengaktifkan otak kiri…
Gerakan anggota kiri mengaktifkan otak kanan…
Fahami yang tersurat…
Selami yang tersurat…
1824
17 Muharram 1427 Hijrah
16 Februari 2006
BAB 1: UMAT
Umat bin Insan. Seorang anak remaja yang kian mendewasa. Lahir di kawasan pedalaman yang dipenuhi malar hijau. Tenang angin dan suasana pedalaman melahirkan ketenangan pada jiwa Umat. Terdidik di dalam persekitaran yang selamat menjadikan Umat sentiasa mendambakan sesuatu yang indah. Kesederhanaan ayahandanya Umat sentiasa inginkan sesuatu yang selari dengan idolanya itu. Ketenangan dan kesejukan pada wajah seorang bonda membuatkan angan Umat pada wajah perwatakan seiras bonda. Hati Umat cukup tegar, menolak wujudnya pekongsi-pekongsi hati, seiring nasihat ayahanda dan bonda. Sesekali hati Umat terdetik untuk mengintai denai-denai percintaan. Sesekali jiwa Umat yang kosong meronta-ronta minta diisi. Seringkalinya Umat bertegas, imun untuk menahan pathogen-patogen yang berusaha merosakkan pegangan yang dijaga. Biarpun hati muda sentiasa meronta, penjara kukuh yang dibina masih mampu merantai gelodak keganasannya.
Bertahun berlamanya Umat mempertahankan prinsip yang dipegang. Sehinggalah pada suatu remang petang, Umat ditakdirkan bertemu seorang insan. Tatkala kali pertama memandang, kalbu Umat mula berdegup kencang. Darah panas mula membakar seluruh tubuh, dadanya bergelombang turun dan naik. Pandangan Umat tak mampu lagi dialihkan dari pandangan pertamanya itu. Panah syaitan yang tidak pernah tersasar. Tepat. Satu titik hitam mematuk kalbu Umat.
Umat tersenyum. Otak berputar, berfikir. Hati berbolak-balik mengenang sesuatu yang cukup indah. Kaki berlegar-legar, mata ligat memerhati ke setiap sudut pandangan. Umat sedang berhadapan sesuatu yang sedang dicari, sesuatu yang selama ini cuba dielak. Suatu perasaan yang perlu didalami untuk mengerti suatu kenyataan. Umat bersedia meneroka kisah yang selama ini menjadi lagenda dan meluap-luap di dalam hatinya.
BAB 2: UMMI
Perwatakan lemah-lembut, senyum simpul dan lirik mata sudah cukup untuk menggambarkan betapa indahnya Ummi. Akhlak dan peribadi yang indah menambahkan lagi keindahan yang telah dianugerahkan.
Wanita yang memelihara rohani dan jasmaninya. Lahir dan zahir seiringan, terdidik dalam suasana yang suci. Kemurahan dan keikhlasan dalam setiap kuntum senyum yang dilemparkan menggamit hati pencinta keindahan. Bicara mesra dan layanan yang berpada-pada menjadi igauan jiwa-jiwa yang sedang mencari nilai sebuah cinta. Tubuh dibaluti nilai keagamaan, menjadikan gerak langkah rohani dan jasmani Ummi sentiasa dalam kawalan akhlak. Muamalat seharian berpandukan Kalam-Kalam suci. Hatinya teguh mempertahankan kesucian cinta. Cinta utama pada Ilahi, itulah cinta hakiki. Hati Ummi belum bersedia menyerahkan kesucian cinta kepada sesiapa, baginya cinta belum layak dikongsi sesiapa kecuali pada Yang Maha Pencipta.
Tanpa disedari, senyuman dan perwatakannya yang indah menggamit hati seorang jejaka, Umat. Kini hati Ummi yang tegar akan diuji. Ummi dalam dilema, desakan jiwa remaja seakan-akan memaksanya untuk menerima kehadiran Umat. Suatu yang terlalu sukar untuk ditafsirkan, penerimaan yang tiada penggantungan. Ummi terfikir-fikir sendirian.
BAB 3: AWAL DAN AKHIR
Renungannya lurus menuju pinggir jalan yang sesak. Biasan pandangan Umat terpaku pada riak Ummi. Menatap indah wajah Ummi. Riak seindah akhlak yang dididik, persis nukilan pengukir ciptaan agung. Riak dan akhlak yang dicari-cari Umat setelah sekian lamanya. Gerak lisan menzahirkan rohani yang kudus, mendegupkan jantung si Umat. Bagaikan ada talian rohani pada kedua-dua insan ini. Umat diuja keawangan, dibuai bauan indah yang didetikkan pada cinta hati fitrah. Saat itu hati yang selama ini tepu dan terkadang-kadang dicairkan oleh indahnya bisikan, mencair secair-cairnya. Pintu yang dikunci oleh pencarian gerak hati, diketuk-ketuk oleh kehadiran Ummi. Mungkin Ummi yang dicari-cari selama ini...(to be continued)
Istighasah, boleh ke tak?
2 days ago
1 comments:
pck: sambungan kat entry ogos,2008
Post a Comment