Bab 3-Awal dan Akhir
Renungannya lurus menuju pinggir jalan yang sesak. Biasan pandangan Umat terpaku pada riak Ummi. Menatap indah wajah Ummi. Riak seindah akhlak yang dididik, persis nukilan pengukir ciptaan agung. Riak dan akhlak yang dicari-cari Umat setelah sekian lamanya. Gerak lisan menzahirkan rohani yang kudus, mendegupkan jantung si Umat. Bagaikan ada talian rohani pada kedua-dua insan ini. Umat diuja keawangan, dibuai bauan indah yang didetikkan pada cinta hati fitrah. Saat itu hati yang selama ini tepu dan terkadang-kadang dicairkan oleh indahnya bisikan, mencair secair-cairnya. Pintu yang dikunci oleh pencarian gerak hati, diketuk-ketuk oleh kehadiran Ummi. Mungkin Ummi yang dicari-cari selama ini.
“Usah diangankan pada insan yang dilihat, hatimu terbuka kepada insan yang menutup hatinya seperti tertutupnya hatimu pada saat lepas”. Telinga Umat dibingitkan oleh kata-kata yang
berulang-ulang.
Hati Umat masih tegar, dipejamkan mata dan ditarik nafas sedalam-dalamnya sehingga berkeriuk irama dari sangkar rusuk yang digerakkan. Pertukaran udara segar mengalir pada jalan-jalan darah Umat. Membawa pesanan yang meluap-luap.
“Persetankan kata-kata yang membingitkan, bangkitlah mengejar yang dicita-citakan selama ini”
Pesanan dikesan reseptor fitrah lantas menghantar rangsangan kepada pusat kawalan hati. Hati yang cair luluh merembeskan hormon dorongan. Otot efektor tergerak, mengecut dan mengendur mengikut ritma arahan. Umat mula mundar-mandir, sesekali menongkat dagu memikirkan agenda tertentu. Otak beku mula berputar, ribuan telahan dan persoalan berlegar-legar bersama ribuan jawapan yang direka-reka. Mekanisma homeostasis yang disistemkan berfugsi cemerlang, bergerak mengikut arahan yang diberikan. Namun hasil terakhir yang disimpulkan belum muktamad, jawapan masih kabur dan beraneka pilihan. Umat termenung memikirkan jawapan yang paling tepat. Otak Umat tidak mampu memberikan pilihan yang sesuai, sesuatu yang normal bagi otak manusia. Otak terkadang-kadang berfungsi berdasarkan pengalaman. Umat belum merasai pengalaman ini, Umat masih mentah.
Saat yang bergerak menambahkan keazaban pada jiwa Umat. Sesekali bertembung wajah Ummi menjadikan jiwa Umat makin bergelodak, rasa yang terpendam makin membuak-buak.
Pandangan Umat tidak lagi dapat menyembunyikan rasa yang terpendam dalam sanubarinya. Ummi bagaikan memberi petanda yang meyakinkan Umat, rasa hati Umat bagai dihargai. Umat mencuba mengorak langkah berani, menebalkan derma dan membekukan aliran darah merah. Hati Umat membulatkan tekad untuk cuba mengetuk pintu-pintu yang terkunci.
Tiba-tiba suara menyindir menerpa ke gegendang telinga Umat. “jalan mara kaki tersadung, tebal derma tangan kudung…”.
Aliran darah yang mulanya tersekat, mengalir laju. Derma tebal pucat lesu mulai dibasahi aliran darah. Derma bersinar-sinar kemerahan. Darah merah menyirap dari hujung kuku terus ke hujung rambut, Umat tersentak. Nafas umat mulai merudum, ventilasi mulai terganggu, mata Umat mulai kabur, kaki Umat mulai longlai. Umat jatuh tersungkur, berguling-guling di atas jalan yang sesak. Wajah Umat dipenuhi debu, Umat malu, Umat keliru, Umat terharu. Baju yang membalut tubuh Umat compang-camping dikoyak oleh rasa malu yang mulai membelit tubuh Umat. Rasa sakit terjatuh sudah tidak dirasai lagi, rasa malu lebih menyengat dan memnyiat setiap inci tubuh umat.
Panas terik matahari membakar tubuh Umat. Titik-titik hujan siang menimpa wajah Umat. Umat terkapai-kapai, cuba bangkit dari jatuhan yang memalukan. Tersedar Umat, ujian Tuhan menguji hatinya. Hati keras yang selama ini tertutup, dibakar rasa bersalah pada saat pintunya baru dibuka. Ujian yang keras perlu untuk menyedarkan hati Umat yang keras. Umat terpaku seketika. Otak yang masih lelah berfikir diperah lagi, Hati yang sedikit terluka berdegup kembali dan maruah yang telah tercalar ditongkat berdiri. Umat mula bangkit bersama sebait kesedaran.
“…Hati keras terkunci mencair hanya kerana pandangan kepada Ummi. Secalit sifat Keindahan dan Kesempurnaan-Nya yang dicampakkan pada diri Ummi menggoncang peribadimu, menghancur luluhkan jiwamu. Pandanglah kepada Keindahan dan Kesempurnaan yang Maha Tinggi. Bukakanlah, gilakanlah, cintailah, usahakanlah, hancur luluhkanlah jiwamu Umat kepada Pencipta-mu melebihi bukaan, kegilaan, kecintaan, kegigihan, keperitan dan kehancuran yang kau rasai pada Ummi kerana Dia bersifat dengan segala kesempurnaan ”
BAB 4: MONOLOG DALAMAN
“ Indahnya saat aku mula menyusun rentak, melontar pandangan mencari jalan untuk merapatimu”. Jiwa Umat mula bermonolog.
Dagu yang dibaluti rerambut indah diletakkan ke atas tangan yang sedang bertongkat. Merenung jauh dan sesekali Umat merenguskan hembusan nafas, bagaikan ada nada mengeluh setiap kali nafas dihembuskan.
“ Aku berjaya melompat ranjau yang pertama, mengetuk pintu hati yang pada firasatku terkunci rapi”.
“ Tapi…aku terlepas sesuatu yang hampir dalam genggaman”.
“ Ah, ini semua salahku!”.
“ Mungkin juga bukan salahku. Benar, ini semua bukan salahku. Aku tak patut dipersalahkan”.
“ Kalau begitu, salah siapa lagi? Ummi? Ummi tidak pernah mengundang kehadiranku, tidak sesekali mengalu-alukan kedatanganku. Benar, ini semua bukan salah Ummi. Ummi tak patut dipersalahkan”.
“ Kalau begitu, salah siapa lagi?”.
Bertubi-tubi persoalan menusuk masuk jirim kelabu dan putih Umat. Umat menghela nafas panjang, melepaskan beban yang bersarang dalam kotak pemikirannya. Bagaikan suatu rutin harian, inilah kerja-kerja harian Umat. Bercakap kepada diri sendiri, mencari jawapan yang sebenarnya tiada pada dirinya.
“ Perlukah aku terus menunggu dan berharap?”.
“ Mungkin tiada jodoh atau mungkin belum tiba seru. Kalau ditakdirkan kau untuk aku, biar apapun rintangan jodoh tetap penentu. Ya, itu semua sudah tersurat, tidak perlu aku mencari dan mengharap pada mimpi”. Umat membujuk hatinya.
“ Aku pasrah dan redha dengan ketentuan-Nya. Biarlah masa yang menentukan”.
BAB 5: ULANGAN LAGENDA
Suatu siang, Umat tertidur. Bisikan angin membelai dan menyanyikan lagu indah. Satu tarikan seakan mengajak-ajak Umat. Umat mengekori tarikan itu dan
berjalan menyusuri suatu denai. Hujan yang turun memaksa Umat berlari-lari menyusuri denai itu. Setiba di celaha pepohon, tarikan tadi telah menghilang. Umat terlonta-lonta mencari arah. Dalam kekalutan itu Umat dihujani helaian kertas yang jatuh dari pepohon itu. Umat terkejar-kejar mengutip helaian kertas yang bertaburan itu. Berpeluh-peluh muka Umat.
“ Astaghfirullahhal’azim…mimpi rupanya”. Umat beristighfar panjang.
Mimpi yang indah dan mengerikan itu masih bermain-main di benak fikiran Umat. Otaknya mula menafsir mimpi siang itu. Wajah Umat berkerut dan garis-garis senyum mula mengukir pada wajahnya. Umat menyelongkar kotak-kotak usang. Mencari-cari sesuatu yang suatu ketika dulu tidak berharga padanya, namun kini ianya terlalu berharga. Raut wajah Umat yang berpeluh tersenyum gembira. Sebuah kitab lama yang usang digenggam erat. Untuk beberapa kali, dikucupnya kitab lama itu. Diselak-selak kitab lama itu beberapa halaman, Umat mula membaca dan bacaannya terhenti pada suatu perenggan…
Aku rasa teruja. Kini aku yakin, aku mampu menghuraikan persoalan yang ditinggalkan oleh “aku-1984” dan “aku-2000”. Pengalaman mereka akan aku jadikan suatu pedoman dalam merungkai setiap persoalan yang ditinggalkan. Si gadis yang terpilih diharapkan dapat membantu aku menyelami maksud “Tidak perlu aku memaksa sesiapa untuk mempercayai persoalan yang kuutarakan ini kerana kupercaya,
akan tiba masa untuk setiap insan melaluinya” dan “Mataku makin kabur, kata-kata ungkapan “aku-1984” bermain-main di telingaku. Aku tersedar rupanya kata-kata “aku-1984” adalah suatu…
Puas. Itulah perasaan yang mungkin dapat digambarkan pada wajah Umat. Digelen-gelengkan kepalanya beberapa kali. Senyuman jelas terukir pada wajahnya, dipejam matanya dan doitarik nafas sedalam-dalamnya. Satu hembusan nafas yang panjang dilepaskan dan tidak dapat digambarkan betapa puas dan gembiranya hati Umat. Kegembiraan yang bukan sekadar lakonan, kegembiraan yang sebenar. Kegembiraan yang memberikan suatu pengalaman buat Umat meneruskan sisa-sisa kehidupan yang mendatang agar tidak sia-sia.Ujikaji Umat telah berjaya. Lagenda yang sama berulang padanya. Bagi Umat, itu semua tidak penting. Kepuasan yang dirasainya itu cukup berharga. Umat berjaya mengungkai maksud yang tersirat dalam suatu kisah lagenda yang sering berulang. Lagenda yang akan terus berulang selagi wujud rasa cinta dalam jiwa manusia.
Istighasah, boleh ke tak?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment