BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

May 10, 2008

ToKey BeRAs

SESUATU barang keperluan yang stoknya masih terjamin dan sengaja dinaikkan harga maka tindakan boikot adalah jalan yang terbaik untuk mengajar pengusaha, pembekal atau penjual barangan tersebut. Namun, isu kenaikan harga beras dan bahan berasaskan gandum misalnya mi yang sedang berlaku ketika ini bukanlah berpunca daripada perbuatan menaikkan harga tetapi ia berlaku akibat bekalan yang terhad. Jika dilihat daripada sudut global, harga beras meningkat sebanyak 74 peratus manakala gandum meningkat sebanyak 130 peratus. Jika boikot dijalankan untuk menekan pihak yang menaikkan harga, ia mungkin berhasil sekiranya kita mempunyai sumber lain sebagai alternatif.

Namun begitu, semua pihak terperangkap dalam permasalahan ini dan tiada jalan alternatif yang boleh pengguna jadikan sebagai tempat 'mengadu nasib'. Boikot dalam situasi ini bererti pengguna harus mengelak daripada membeli barangan berasaskan beras dan gandum. Hakikatnya, terlalu sukar untuk kita meninggalkan sesuatu yang menjadi asasi kepada kita khususnya dalam isu makanan. Isu kekurangan bekalan asas makanan ini telah menjadi isu global dan haruslah dipandang secara global. Jalan terbaik untuk menangani masalah ini ialah kembali ke peringkat akar umbi. Kenaikan harga beras dan makanan berasaskan gandum berlaku akibat kekurangan bekalan di pasaran dan kekurangan bekalan ini berpunca daripada kekurangan pengeluaran. Kekurangan penghasilan beras dan gandum pula berlaku secara global sebagai implikasi daripada beberapa dasar pertanian dan cuaca dunia yang tidak menentu ketika ini.Situasi ini harus didepani melalui dua pendekatan yang berbeza. Pengguna, pengeluar, pemborong dan pihak berwajib perlu membentuk kesinambungan antara satu sama lain. Kesinambungan antara '4P' ini akan membentuk rantaian yang akan melingkari permasalahan ini dan mengelakkannya daripada terus merebak dan tersebar.

Dua peringkat penyelesaian harus digembleng bersama, pertamanya ialah penyelesaian jangka pendek dan yang kedua ialah penyelesaian jangka panjang.Melihat keadaan semasa yang menuju ke arah meruncing, penyelesaian jangka pendek perlu digerakkan terlebih dahulu. Penyelesaian jangka pendek ini merangkumi pengawalan stok bekalan dan pengawalan emosi pengguna. Negara kita beruntung kerana walaupun masih mengimport sekitar 30 peratus beras dari luar, namun, bekalan untuk dua barangan asas ini masih terkawal. Rusuhan makanan yang berlaku di beberapa negara Amerika Latin, Afrika dan Asia dapat dielakkan di negara ini. Tindakan pantas kerajaan yang mengisytiharkan bekalan beras dan makanan berasaskan gandum mencukupi sedikit sebanyak membantu mengawal panik orang ramai.Jika tindakan ini tidak dijalankan dengan pantas, tidak mustahil keadaan negara kita akan senasib dengan negara-negara lain.

Bagaimanapun, desakan harga pasaran antarabangsa yang begitu hebat tidak dapat lagi dikawal apabila ia akhirnya memaksa peniaga menaikkan sedikit harga barangan berasaskan beras dan gandum.Krisis makanan yang berlaku ketika ini berpunca daripada gabungan beberapa faktor dalaman, luaran dan luar kawalan. Peningkatan harga minyak dunia secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kos baja dan pengangkutan. Sesetengah negara mengamalkan dasar pertanian sebagai sumber bahan api bio untuk mengatasi kenaikan harga minyak dan akibatnya, berlaku pengurangan pertanian untuk makanan serta menyebabkan kekurangan makanan dan kenaikan harga makanan. Dasar pertanian yang sedia ada perlu dikaji semula dan dasar pertanian yang lebih baik perlu digubal bagi mengimbangi keperluan makanan dan sumber bahan api bio. Pengeluaran beras di negara kita pada ketika ini hanya mampu menampung 73 peratus keperluan beras dan selebihnya perlu diimport. Negara kita tidak boleh lagi terus bergantung kepada sumber import untuk mengimbangi keperluan beras.

Justeru, suatu langkah untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan perlu dijalankan. Datuk Mustapha Mohamed melalui kementeriannya telah menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran beras sebanyak satu tan bagi setiap hektar tanaman. Peningkatan ini dilihat mampu menampung keperluan tahunan beras di negara kita. Kemudahan dan penyelenggaraan tali air yang baik dan subsidi baja perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dalam memenuhi sasaran ini. Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menterinya akan mengumumkan beberapa langkah yang akan diambil untuk mengawal kenaikan harga barangan di pasaran pada 1 atau 2 Mei ini. Langkah-langkah yang akan diumumkan nanti haruslah dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat sama ada pihak berwajib, pengeluar, pemborong dan pengguna supaya objektif yang dirancang oleh kerajaan dapat dipenuhi.

1 comments:

Park Chick said...

ni artikel aku dan housemate aku Md Yunus yang published kat paper Kosmo