BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

May 21, 2008

aNak Baru gEde

Pendedahan demi pendedahan dibuat mengenai anak gadis tempatan yang dilarikan ke luar negeri dan yang paling mencuri perhatian ialah dilarikan ke Indonesia. Kita mungkin pernah mendengar gadis-gadis yang dilarikan atau diseludup untuk tujuan pelacuran atau menjalankan kegiatan pengedaran dadah dan sebagainya. Namun begitu, istimewanya gadis yang dilarikan ke Pulau Lombok, Indonesia ini ialah untuk diperisterikan. Itulah tradisi pelik tetapi benar atau dikenali sebagai ”merari” yang masih diamalkan di kepulauan tersebut. Merari merupakan adat tradisi masyarakat di Lombok, Indonesia. Anak gadis yang ingin dikahwini akan dilarikan sebagai suatu tanda kemegahan. Mereka kini kian rakus mengejar ”anak baru gede”, satu istilah yang digunakan bagi mewakili anak-anak di bawah 15 tahun yang dilarikan dari luar negeri. Suatu fakta yang menarik ialah 800 ribu orang pekerja asing dari kepulauan Lombok berkerja di Malaysia secara sah atau tanpa izin.

Rinnie anak Aseng, Masliana Saidin, Evy Estefanie, Che Azreen dan Nurul Wahida merupakan antara senarai anak tempatan yang dilarikan dan kesemuanya berusia belasan tahun. Kisah yang paling mendapat perhatian ialah anak gadis dari Perak, Nurul Wahida Hamzah dan Che Siti Nor Azreen Che Ishak dari Negri Sembilan. Sebenarnya kisah mereka ini adalah rentetan dari banyak lagi kes yang melibatkan gadis tempatan yang dilarikan ke negara kepulauan itu. Salah seorang gadis tempatan yang berjaya dibawa pulang setelah dilarikan ke pulau berkenaan menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 30 orang gadis tempatan sebayanya yang terdapat di sana. Penasihat Imigresen dan Tenaga Kerja Kedutaan Malaysia di Indonesia pula menyatakan sejak tahun 2005 terdapat sekurang-kurangnya 12 orang anak gadis tempatan yang terkandas di Indonesia. Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care) sebuah petubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam usaha menyelamatkan gadis Malaysia yang dilarikan pula mengatakan lebih 47 orang gadis Malaysia masih berada di kepulauan Lombok. Statistik kes Orang Hilang dan Jumpa Seluruh Malaysia bagi suku pertama tahun 2007 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 681 wanita telah hilang. Angka dan statistik ini menunjukkan permasalahan ini akan meruncing jika tidak ditangani dengan baik.

Langkah pertama yang perlu dilakukan untuk mendepani masalah ini ialah dengan mengkaji punca atau sebab kepada permasalahan tersebut. Pengakuan mangsa yang terlibat dan kajian yang dijalankan oleh 22 penyelidik universiti dari Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Scandinavia dan Sepanyol mendapati punca utama gadis tempatan dilarikan atau melarikan diri ke Indonesia ialah atas dasar cinta. Persoalanya ialah mengapakah begitu mudah gadis tempatan cair kepada pujuk rayu warga Indonesia terbabit? Ini mungkin dipengaruhi oleh pesona ”cowok” Indonesia melalui industri ”Indonwood” yang acapkali menghiasi pawagan dan industri hiburan tanah air. Anak baru gede tempatan mungkin berfantasi di alam perfileman dan berkhayal atau teruja untuk mendampingi jejaka-jejaka Indonesia sebagai hero hati mereka. Trend untuk bercinta dengan warga asing mungkin menjadi faktor penggalak kepada gadis tempatan untuk menerima cinta dari seberang. Mereka juga mungkin terpedaya dengan kata-kata manis dan susunan madah-madah cinta. Pihak-pihak yang berwajib haruslah memandang berat perkara ini, sebaiknya filem-filem dari luar dikurang-tayangkan di negara kita.

Ibu bapa juga harus dipertanggungjawabkan terhadap wujudnya masalah ini. Keberantakan institusi kekeluargaan dan mungkin kurangnya kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa menjadi faktor pendorong kepada anak-anak remaja ini mencari tempat untuk menumpang kasih. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, gadis yang bermasalah ini tidak mungkin akan menolak ”bantal-bantal empuk” yang disorongkan oleh segelintir warga Indonesia yang sememangnya mencari-cari mangsa. Ibu bapa tidak harus menjadikan kesibukan mengejar kekayaan sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dan kasih-sayang terhadap anak-nak khususnya anak gadis yang kian meningkat remaja. Komunikasi dan perhatian khusus perlulah sentiasa diberikan kepada anak-anak.

Jikalau diselami dari aspek cinta, persoalan yang mungkin timbul ialah, apakah yang difahami oleh anak gadis yang masih belasan tahun ini mengenai cinta? Seperti kisah yang dipaparkan, anak gadis yang baharu berusia 13 tahun sanggup merentas selat Melaka demi sebuah cinta. Pemikiran kita yang waras mungkin sedikit bercelaru memikirkan makna cinta yang difahami oleh kanak-kanak yang masih bersekolah ini. Tidak dapat dinafikan, mungkin wujud unsur ilmu hitam. Akhbar tempatan baru ini melaporkan bahawa seorang gadis yang berjaya dibawa pulang meronta-ronta dan asyik teringatkan suami yang melarikannya. Sedangkan sebelumnya, gadis terbabit bersungguh-sungguh mahu pulang ke tanah air. Gadis tempatan haruslah berhati-hati dalam pergaulan mereka khususnya warga asing yang baru dikenali. Ibu-bapa juga perlu mengawasi rakan pergaulan anak-anak.

Setelah puas dipujuk rayu, terpesona dengan ayat-ayat cinta atau terkena penangan ilmu sihir, gadis-gadis ini akan dilarikan ke Indonesia. Berdasarkan statistik kebanyakan gadis tempatan yang dilarikan ke sana tidak mempunyai pasport atau pengenalan diri yang sah. Sebilangan besar daripada mereka ini memiliki pengenalan diri atau pasport yang palsu. Fakta ini menunjukkan betapa lemahnya pengawalan sempadan negara, bukan sekadar beras, rokok atau barangan lain diseludup dengan mudah tetapi manusia juga boleh diseludup. Oleh hal demikian, penstrukturan semula dan pengawalan yang lebih ketat perlu diberikan di sempadan negara khususnya yang sering digunakan untuk ke negara berkenaan. Kerjasama antara Imigresen Malaysia dan Indonesia perlu dipereratkan lagi supaya pengawalan sempadan akan menjadi lebih efisien.

Seterusnya kes-kes yang telah berlaku perlu diberikan perhatian yang khusus. Kerajaan Malaysia melalui pihak berwajib perlu mengambil tindakan yang tegas. Akta yang sudah sedia ada perlu disusun semula dan ditambahbaikkan manakala akta yang baru dan relevan perlu digubal dan dikuatkuasakan.
Sebagai seorang makhluk kita harus kembali kepada ajaran agama. Ajaran agama yang secukupnya perlu diberikan kepada anak-anak. Anak-anak harus disedarkan bahawa perkahwinan mereka di seberang adalah tidak sah dari segi undang-undang sekiranya tidak memiliki pasport atau pengenalan diri yang sah. Dari segi agama pula perkahwinan mereka diragui kerana berkahwin atas nama yang berlainan. Kesimpulannya, pengemblengan dan usaha sama semua pihak perlu bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa.

0 comments: