Apabila pena dipegang untuk meriwayatkan kisah muda-mudi mahupun kisah siswa dan siswi, diri terasa amat berat sebenarnya. Seolah-olahnya sedang memegang pisau untuk menyiat-nyiat kulit sendiri. Terasa juga seakani menghantukkan kepala pada dinding-dinding yang keras. Namun, biarlah diri menanggung kesakitan dan ralat ini dari terus menanggung tanggungjawab yang memijak-mijak bahu rohani yang lemah ini. Biarlah diri disiat-siat mahupun dihentak-hentak seandainya ia mampu membangkitkan diri dari mimpi yang panjang.
Kaki yang menongkah arus semasa, membawa mata ini untuk melihat bayangan diri dalam sahabat-sahabat remaja, sahabat siswa dan mahupun siswi yang hanyut dibawa arus. Pada diri sahabat aku lihat wajahku yang sudah mula melupakan lambaian kasih dan harapan keluarga. Aku melihat aku berpeleseran, menuruti arus remaja. Aku melihat diriku bergaul seadanya, berpimpin tangan biarpun diri sebenarnya sudah mampu berjalan sendirian. Teringat sewaktu kecil, aku meronta-ronta melepaskan genggaman tangan ibu. Aku mahu berjalan dan terus berlari sendirian biarpun aku masih memerlukan pimpinan seorang ibu. Kini aku sudah mampu berjalan dan berlari, tapi ibu dan ayah masih mahu memimpinku. Malunya rasanya dipimpin ibu pada usia begini. Kini aku lebih selesa dipimpin pasanganku. Batasan pergaulan sudah lama runtuh. Allah Yang Maha Melihat makin jauh dari hatiku. Aku ditunggang syaitan, menurutkan nafsu.
Tatkala matahari melabuhkan diri akur kepada perintah Allah, aku pula kufur kepada Allah. Malam yang gelap menggelapkan mata hatiku untuk melihat bahawa Allah Maha Melihat. Andai matahari menurutku yang kufur kepada perintah Allah, maka kacau-bilaulah kehidupan alam ini. Ya Allah, besarnya akibat kufur pada perintah-Mu. Aku melihat aku bermain-main di pinggir-pinggir kemaksiatan. Hatiku masih tertutup kepada pintu-pintu taubat walaupun aku tahu Engkau Maha Pengampun. Malaikat mula menjengah ketika aku masih belum bertaubat.
Istighasah, boleh ke tak?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment