BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jun 2, 2008

Cerpen-UlanGan LageNda (Part II)



Aku
1 Jun 2000

Inilah cebisan kehidupan yang kukutip di tepian jalan. Nota suka-duka seorang anak remaja, “aku-1984” yang sedang mencari arah dan erti kehidupan. Persoalanku kini ialah bagaimana untuk aku menerokai pemikiran anak remaja itu. Cebisan yang tidak lengkap ini memaksa aku untuk mencari perjalanan dan kesudahan kisah hidup yang cuba digarapnya itu.

Aku bergerak ke serata arah, mengutip setiap pandangan. Meninjau belukar hidup dan denai-denai yang pernah suatu ketika dulu menjadi jalan bahagia insan –insan kerdil yang mengejar suatu nikmat hidup. Sehinggalah pada suatu rembang siang aku ketemui titik permulaan bagi kisah “aku-1984”. Denai yang telah usang, ditumbuhi semak-samun dan mungkin menjadi tempat persinggahan makhluk berjantina untuk menyemai kasih yang sudah tertumpah. Demi menggapai matlamat yang kuimpikan itu, aku bersedia menjadi bahan ujikaji untuk eksperimen ini. Aku yakin aku mampu menangkis masalah yang dihadapi “aku-1984”. Keyakinanku ini memang berasas, bayangkanlah sekiranya kita tahu setiap gerak masa hadapan. Keyakinan inilah yang mengheret aku untuk cuba menyelami masalah ini. Aku yakin, aku mampu mengatur setiap gerak dan langkah dalam menyelongkar setiap inci permasalahan ini. Tiada apa yang perlu kutakutkan, segalanya jalan cerita dan mungkin rencah cabaran yang bakal mendatang sudah tersurat di dalam cebisan kisah yang kutemui itu. Pengorbanan yang kulakukan adalah untuk mencari langkah bijak mengatasi dilema yang diungkapkan oleh “aku-1984”. Ungkapan yang mengatakan “Tidak perlu aku memaksa sesiapa untuk mempercayai persoalan yang kuutarakan ini kerana kupercaya, akan tiba masa untuk setiap insan melaluinya”. Bagai suatu kata keramat yang memanggil-manggil namaku untuk menyingkap setiap maksud yang tersirat. Demi mencari kebenaran kata-kata dan mungkin menemui penawar bagi dilema ini. Langkah gagahku menyusuri setiap inci bumi bertuah ini, memijak tapak-tapak yang ditinggalkan pujangga masa lampau.

Aku melangkah menuju destinasi yang pada firasatku menjadi tumpuan dan lubuk untukku memancing kisah lara “aku-1984”. Berjam-jam lamanya aku menunggu tetapi tiada sebarang petanda aku temui. Lelah aku menunggu, mataku sudah beralih tumpuan. Suatu tarikan kuat menarik pandanganku. Seorang insan bernama gadis sedang bergerak menyusuri langkah, bersama liuk-lenggok yang mendebarkan jantungku. Takdir memaksanya duduk bertentanganku. Mata saling berpandangan, hatiku makin berdebar. Si gadis tersenyum sinis, gerak mata dan olengan tubuh mengajakku mendampinginya. Kuasa magnet yang menarikku makin kuat, tapak kukuh yang kududuki kian bergoncangan. Fikiranku melayang, menerawang di angkasa. Tersentakku secara tiba-tiba wajah si gadis tersembul di bola mata. Entah bagaimana caranya, aku kini duduk bersebelahan si gadis. Badanku kaku, lidahku kelu. Nafas yang dulunya sering tersekat oleh debu kehidupan berdenyut pantas, turun naik dadaku menunjukkan aku kini berhadapan suatu yang cukup mendebarkan.

“ Assalamualaikum…siapa nama?. Terkeluar kata-kata dari mulutku dalam nada gugup dan terketar-ketar.

Matanya memandang ke arahku, kerut wajah menampakkan si gadis agak tekejut dengan pertanyaanku. Aku makin tidak keruan menunggu jawapan darinya.

“ Waalaikummussalam. Kenapa nak tahu nama pula?” Suara si gadis yang cukup lunak menjawab perbualanku. Aku bagai tak keruan. Degupan jantung yang pada mulanya malap kian berdegup kencang.

“ Sebab saya minatkan awak.”Jawabku seperti kerbau dicucuk hidung. Terlalu berterus- terang dan berani.

Reaksi gadis bagaikan sudah menduga jawapan yang akan kuberikan, namun senyum manis yang dilemparkan mungkin membawa maksud bahawa si gadis jua mengharap pengakuanku itu.

Perbualan antara aku dan dia bermula. Masing-masing sibuk bercerita, pengalaman, susur-galur hidup. Aku dan dia bagaikan sudah lama mengenali, cukup serasi. Saat–saat yang bergerak tidak lagi dihiraukan, yang pastinya aku sedang berhadapan dengan kebahagian hidup yang belum pernah aku impikan. Aku cukup terpesona dengan keayuan dan aturan tutur bahasanya yang cukup indah seperti sebuah syair cinta. Pandangan dan cara gerak-gerinya cukup sempurna persis gadis melayu terakhir. Perbualan yang rancak terhenti pabila terdengarnya laungan azan. Kularikan pandanganku dari wajah gadis ayu itu. Memandag jauh kearah jemaah yang sedang bergerak ke rumah Allah. Sepantas denyutan yang bergerak pada urat sarafku kulontarkan kembali pandanganku pada gadis tersebut. Ahh…kemana hilangnya gadis manis. Aku tertanya-tanya. Gadis manis hilang bersama hilangnya cahaya mentari di ufuk barat. Aku tak pasti kewujudan sebenar gadis itu, tapi aku yakin aku masih waras untuk melalui semua ini. Ingatanku masih jelas, akalku masih waras, tuturku masih berasas dan gerakku masih di bumi yang keras.

“Hari esok masih ada, moga-moga jodoh menemukan kita kembali”. Bisik hati kecilku. Bersama langkah lesu aku bergerak pulang.

Waktu dan tempat yang sama, kutemui semula gadis manis itu. Nyatalah aku berpijak di bumi yang nyata. Jodoh menemukan kembali aku dengan si gadis. Hari-hari berlalu, keakraban semakin terjalin. Seharian kami bersama, aku dan dia bagaikan bayangan yang tidak dapat dipisahkan. Mata asing yang saban hari memerhatikan gerak langkahku tidak lagi kupedulikan. Aku dan gadis manis kini berada di dunia yang indah. Manusia yang lalu-lalang bagaikan angin yang berhembus. Angin sepoi enak terasa, angin keras menyebak dada. Aku benar-benar bahagia, kehidupan terasa cukup sempurna. Setiap kali malam menjelma, aku resah menunggu siang menjengah. Mata yang dulunya pasti nyenyak tatkala malam merangkak, kini terasa cukup sukar dilelapkan. Deringan loceng pagi yang dahulunya kurasakan cukup perit, kini kurasakan cukup bahagia mendengar jeritan paginya. Aku terbayang–bayang wajah si gadis. Pemikiranku hanya berpusat pada satu wajah, si gadis. Pencarian dan penyelidikanku mengenai dilema “aku-1984” sudah kubuang jauh dari benak pemikiran. Tiada gunanya aku mengejar sesuatu yang tidak berguna, padahal dahulunya kurasakan ia cukup penting. Hari-hari yang kulalui makin indah, saat yang berdetik mencengkam urat nadi untuk terus memuja si gadis. Arah pandanganku kini hanya satu, si gadis. Setiap kali pandangan kulontarkan, wajah yang sama pasti mengundang. Setiap saat aku menzikirkan nama yang sama, si gadis. Di situlah kiblatku dan disitulah arah pujaanku. Aku mahukan jasadku bersemadi di samping pusara si gadis andai ditakdirkan hayatku sudah ke penghujungnya.

Seminggu selepas genap setahun aku berkiblatkan si gadis, aku kembali ke tempat yang sering kutemui si gadis. Seperti hari-hari lalu yang telah kulalui bersamanya, aku menanti riak wajah yang telah membuatkan aku resah selama ini. Mataku menyelongkar ke serata arah tapi bayangan si gadis tidak kutemui.

“Dik, arah mana nak pergi bank?”. Suara asing tiba-tiba menanyakan soalan kepadaku. Aku hanya memuncungkan mulut, menunjukkan arah yang ditanyakan. Orang asing itu bergerak ke orang bersebelahan. Mungkin tidak berpuas hati dengan jawapan yang kuberikan.

Aku keresahan, badanku melayang-layang. Aku bagaikan tidak lagi berpijak di bumi ini. Seharian aku termanggu di situ, bayang si gadis masih belum menjelma. Menjelang malam, aku melangkah longlai pulang ke rumah. Pulang bersama seribu kekecewaan dan persoalan. Semalaman aku memikirkan, semalaman aku kebingungan. Pabila siang menjengah, ke tempat yang sama akan ku tuju. Begitulah setiap saat dan setiap denyutan nafas. Si gadis tetap tidak ku temui. Kemanakah hilangnya wajah ayu itu? Pelbagai persoalan kian menusuk masuk dan menjengah setiap jisim putih dan kelabu agar terus memikirkan tentang si gadis.

Suatu malam aku bermimpi, cahaya terang bergerak menyuluh kegelapan yang menyelubungiku ini. Mataku bersilauan, kucuba untuk membuka mataku perlahan-lahan. Cahaya mentari memanaskan sekujur tubuhku. Terasakan tubuhku cukup berat untuk beralih dari pembaringan tidak seperti hari-hari dahulu. Langkah longlaiku menuju destinasi yang dahulunya amat bahagia. Hari ini dapat kurasakan sedutan nafasku agak berlainan. Udara yang singgah pada nadi hidupku terasa cukup segar. Aku sedari, banyak bebola mata yang memusat pada sekujur tubuhku. Mata yang menghina, mengeji dan penuh kejijikan itu memaksa aku berlari meninggalkan tempat itu. Semakin pantas aku berlari, makin banyak kata-kata asing memenuhi telingaku. Segerombolan bayang-bayang hitam mengejar gerak langkahku. Tiba-tiba aku tersungkur, bersama-samaku bertaburan beberapa helaian diari yang telah kugarapkan. Kucuba tuliskan catatan terakhirku pada waktu yang terdesak ini. Mataku makin kabur, kata-kata ungkapan “aku-1984” bermain-main di telingaku. Aku tersedar rupanya kata-kata “aku-1984” adalah suatu…


Aku
1 Jun 2004


Inilah beberapa cebisan yang telah aku pungut di pinggiran landasan kereta api. Nota suka-duka seorang remaja yang menghadapi badai keremajaan. Nota yang tidak sempurna ini menarikku untuk menyelami dilema yang di hadapi “aku-2000” dan secara tidak langsung mengungkai persoalan yang ditinggalkan “aku-1984”.


to be continued...

1 comments:

Irnicwa said...

alangkah baiknya seorang remaja..sering melakukan introspeksi diri merenung perjalanan diri, menghayati kewujudan ilahi...dan menginsafi kekerdilan diri...

Biasanya remaja hanya suka kepada budaya hendonisme...