BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

May 25, 2009

Seloka si Mamat

Semalam Mamat (cantik makna nama hang, Mamat=mati) mengetuk pintu-pintu taubat tapi hati Mamat enggan bertaubat. Hati yang cacat memaksa Mamat berehat pada hujung setiap nasihat. Nasihat demi nasihat hanya berkulat di sisi telinga Mamat. Lalat-lalat menghurungi telinga Mamat yang berkulat, buat menelurkan benih-benih maksiat. Seringkali Mamat terasa ralat dengan maksiat. Tapi "apa boleh buat", dosa-dosa sudah terpahat membuatkan Mamat rasa penat untuk bertaubat. Namun Mamat membulatkan tekad, biarlah badan dihurungi lalat, biar putus urat dan saraf...selagi mahkhluk bernama malaikat, belum datang membawa alamat hayat, Mamat akan terus bertaubat. Mamat akan terus bertaubat kerana yakin pada hakikat rahmat.

Hari ini, Mamat mengerah baki-baki sisa hayat buat mengetuk pintu-pintu rahmat. Mamat berpusing terkulat-kulat mencari arah pintu rahmat. Ada pintu dihiasi syahwat, ada pintu dihiasi azab, ada pintu dipenuhi kawat...mata Mamat menjadi sepet kerna Mamat tiada alamat, dimanakah gerangan si pintu rahmat? Mamat meredah pintu kawat, kaki Mamat menjadi cacat kerna terpijak duri maksiat. Lalu Mamat terlompat-lompat jatuh bersujud di penjuru solat. Mamat belajar suatu hakikat, Allah itu Maha Rahmat. 

Hari esok, Mamat berazam, segala janji akan dikotakan. Mulut basah dengan zikrullah, Mata ditunduk melihat dosa, Telinga dikorek mendengar nasihat, Tangan ditadah dipenghujung ibadah, Kaki melompat ke sejadah ibadat, Hati diajar mengingati mati, Perut disekat menahan syahwat. 

Mamat teresak-esak menunggu esok kerna yang pasti esok belum pasti.

May 21, 2009

Sebuah cerita yang sangat panjang dalam cerpen yang sangat pendek

Takdir menemukan aku dengan si fulan di saat aku sibuk menyusuri denai-denai ilmu. Takdir jualah yang meletakkan kami pada satu aras yang sama, sebagai sahabat sebumbung, sebagai sahabat sepintu. Akulah orang yang julung kali mendengar alunan dengkurnya diwaktu sifulan bergelimpangan dibuai mimpi.

Saat aku dan sifulan melakonkan babak-babak sukar untuk menyelami hati dan budi. Tika sibuk berbicara tentang kehidupan, lidah kami diajar tergigit. Aku tergigit lidahku disaat si fulan melatah tergigit lidahnya. Rajukku lebih sepurnama, keras si fulan jua lebih sepurnama. Biarpun sebumbung namun kami tidak sebahasa lagi. Dengkur yang dulu menjadi irama dodoian tidurku, kini seolah-olah guruh yang berdentum. Hatiku terbakar dan membakar sifat-sifat kemanusian, mengeluarkan api-api syaitan.

Kerja syaitan ini berpaksikan jalan yang sangat licik. Namun, kau tewas wahai syaitan laknatullah. Rahmat Allah mendamaikan aku dan si fulan, membuat kami bergenang air mata. Salam pertama di akhir solatku, menjelmakan wajah si fulan pada bola mataku. Salam kedua di akhir solat si fulan, menjelmakan wajah indahku pada bola mata si fulan. Tangan yang berjabat membuatkan bebola mata dipenuhi genangan air mata. Syaitan menggelupur, menyapukan wajahnya dengan debu-debu tatkala aku dan si fulan bergandingan dan berjalan seiringan pulang ke pangkal keinsafan. Panahan beracun si syaitan menjadi tawar, dengan rahmat Allah.

Bermula dari degup jantung itu, aku dan si fulan akrab bersaudara. Namun hakikat kehidupan hanyalah mainan, aku dan si fulan berpisah pada simpang kehidupan.

Sesekali bertemu bersama membuatkan aku terasa riang bahagia. Namun semuanya untuk seketika, perpisahan pasti menunggu pada setiap simpang masa. Air mataku bergenang  di saat tinta ini dicoretkan. Sukar untuk aku mengerti mengapa air mata terlalu murah pada perpisahan ini. Mungkinkah ini tanda kasih muslim bersaudara, tanda kasih sahabat?